Monday, July 2, 2012

HADIS: Siapa Penghuni Syurga dan Siapakah Penghuni Neraka?



Iyadh Bin Himar al-Mujasyi menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW berkata dalam khutbahnya,

"Penghuni syurga itu ada tiga jenis; pertama, orang yang memiliki kekuasaan, berbuat adil dan diberi taufik untuk bertindak mengikut hukum.

Keduanya, orang yang pengasih dam lembut hatinya terhadap setiap ahli keluarga dan orang Muslim.

Ketiganya, orang yang menjaga kehormatan diri, menghindari perkara keji, tidak mengeluh kerana kekurangan dan tidak meminta-minta.

Sedangkan penghuni neraka ada lima jenis. Orang lemah yang tidak mempunyai pemikiran, yang hanya menjadi pengikut di tengah kalian, tidak mencari nafkah dan tidak pula harta, penkhianat yang menampakkan ketamakan, yang berkhianat dalam urusan yang kecil sekali pun, orang yang setiap saat, pagi dan petang menipumu mengenai keluarga dan hartamu. Beliau juga menyebutkan kebakhilan atau kedustaan, orang yang suka memaki-maki dan orang yang berbuat keburukan."

(Direkodkan oleh Muslim)

 Inti Sari Khutbah
Penghuni Syurga:
  1. Pemimpin yang diberikan kuasa untuk memerintah lalu bersikap adil kepada rakyatnya. Kerana itu, dia juga diberikan petunjuk bagi melaksanakan urusannya mengikut peraturan Allah
  2. Orang yang melayan ahli keluarganya dangan sopan dan menyantuni mereka dengan kasih sayang. Dia juga berlemah-lembut terhadap rakan taulan, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekelilingnya
  3. Orang yang mulia dan mempunyai harga diri yang tinggi. Dia memelihara dirinya dengan menghindari perbuatan yang keji dan hina. Dia juga reda dengan pemberiaan Allah dan tidak sesekali berkeluh kesah atas kekurangan yang ada
Penghuni Neraka:
  1. Orang yang lemah pemikirannya dan tidak suka berfikir. Dia mengabaikan anugerah akal yang diberikan kepadanya hingga gagal bertindak mengikut pertimbangan yang wajar. Sebaliknya dia hanya menurut kehendak dan perbuatan orang lain ibarat lalang ditiup angin
  2. Pemalas yang tidak mahu bekerja bagi mencari nafkah hidup dirinya serta keluarga. Sebaliknya dia lebih suka mengharapkan ihsan orang lain atau mencari jalan mendapat keuntungan dengan cara mudah. Golongan ini pasti gagal menjalankan tanggungjawab mereka kepada anak isteri, keluarga dan negara
  3. Pengkhianat yang tamak hingga sanggup menikam siapa sahaja dari belakang demi keuntungan sendiri. Mereka tidak hanya melakukan perbuatan khianat dalam urusan yang besar, tetapi melakukannya dalam setiap urusan tanpa mengira masa, tempat dan siapa yang menjadi mangsanya. Seolah-olah perbuatan khianat itu sudah sebati dengan darah daging mereka dan tidak mampu dipisahkan lagi. Golongan ini menjadi duri dalam daging kepada komuniti Islam hingga melumpuhkan kekuatannya
  4. Tangkai jering atau mereka yang sangat bakhil dengan harta dan kesenangan yang mereka peroleh. Seolah-olah semua yang mereka miliki itu diperoleh dengan tangan mereka sendiri. Kelompok seperti ini hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Malah, mereka mungkin menjadi talam dua muka yang merosakkan umat
  5. Orang yang bermulut busuk kerana suka melontarkan kata-kata nista dan makian kepada orang lain.

Dipetik dari buku Khutbah Rasulullah: Wasiat Agung Buat Umat Tercinta susunan Rohidzir Rais.